About Me

My photo
si Jagung Capri - manusia bukan patung, ada jiwa tapi kosong, ada akal tapi bengong

Puisi Buat Mawar

Puisi Buat Mawar
Untuk Mawar Yang Selalu Mewangi Dalam Hati

October 19, 2010

Seorang Hamba & Sang Puterinya ( IV )


"Tak mengapa, asal kita saling terima seadanya, ia memadai", Ringkas, cukup ringkas. Melegakan gundah hati ini. Bangga hati tak terkata. Bertakhta sudah tuan puteri dihati. Elok bersemayam bersulam cinta bahagia. Tanpa perlu aku bertanya. Tanpa perlu aku menyatakan segalanya. Cukup buat ku. Malah lebih dari itu.
 
Masa itu cepat benar berlalu. Sedar atau tidak, pelbagai fasa kami tempuh. Dan kali ini, ikatan itu makin kuat terjalin. Pinangan disambut ramah. Tanpa banyak bicara. Berlangsung dalam sederhana. Cuma ada sanak saudara. Ringkas tapi meriah. Dan kini status tunangan jadi pengganti. Hari makin dimamah hari. Begitu juga bulan tahun dan seterusnya. 

Aku genggam status itu tanpa sekilas memandang wajah lain. Dan tiada yang lebih berharga dari satu wajah. Menghitung hari aku menanti, sang puteri akan menjadi permaisuri. Aku gembira bersamanya. Tidak terlalu cerewet. Tidak terlalu memilih. Tidak terlalu keanak-anakkan. dan ia mengukuhkan sebab kenapa ku memilihnya. Dan keberuntungan aku kerana tidak salah memilih. Keperibadiannya tinggi. Bukan aku mahu memuji. Tapi itu hakikat yang diakui. Dan memang itu juga yang aku cari.
 
Melewati diari harian ku yang terisi penuh kebiasaan. Kini lewat hari lahirnya. Dan aku nekad. Untuk menghadiahkannya sesuatu. Yang selama ini jadi anganan. Yang selalu menjadi jelingannya. Tetapi tak pernah aku penuhi. Maklum saja, aku ini orang biasa- biasa saja. Tak terjangkau gunungan emas dan permata. Untuk aku limpahkan padanya. Menjadi bukti materi cinta ini. Tapi si dia tak peduli. Tak meminta malah tak memaksa untuk aku penuhi. Cukup dasar perhatian yang aku beri. Aku tahu dia mengharapkan materi. Cuma dek tak mahu aku merasa gundah. Risau segalanya gagal aku penuhi, dia mendiam diri. Mengerti posisi diriku ini.
 
Cumanya egoku sebagai lelaki. Mana mungkin aku biarkan sang puteri tanpa perhiasan selayaknya dia perolehi. Dan aku terus, nekad mahu memberi kejutan. Dengan sumber yang selama ini aku gali, dan aku cari. Semata-mata untuk membahagiakan sang puteri. Yang bakal kujadikan permaisuri hati.

October 9, 2010

Seorang Hamba & Sang Puterinya ( III )


Benar kata orang. Cinta itu kalau diraih, bahagianya kejora sahaja tujunya. Dan kali ini pasti. Impian yang sekian lama aku pendam. Doa yang sekian lama tak berputus. Hajat yang sekian lama aku perap. Pintu cinta terbuka bukan kepalang luasnya. Kini impian aku gapai. Kini doa aku termakbul. Dan kini hajat aku tertunai. Mahu saja dahi ini kusujudkan ke tanah. Tanda syukur. Tanda gembira yang tak terkira.
 
Rakan dan saudara yang sedari tadi asyik benar melepak kudakap. Aku peluk erat mereka. Terpinga semuanya. Melihat reaksi ku bersahaja. Barangkali difikir aku buang tabiat. Tak mengapa. Walau ini bukan cerita mereka. Tapi tanpa mereka aku tak punya kekuatan sebegini. Dan pada mereka ku kongsikan segalanya.
 
Sedang asyik bergembira. Sedang asyik aku bercerita, aku terlupa. Yang benar-benar terlupa. Belum kubalas ucap terima kasih ku padanya. Pantas ku tekan kekunci telefonku. Membalas dengan reaksi riang. Terima kasih kerana membuka pintu hatinya. Dan terima kasih kerana menerima ku seadanya. Seadanya? Aduh! Aku termenung sejenak. 

Ya, benar dia terima aku seadanya. Tapi bagaimana mahu aku terima dia seadanya? Aku ini cuma pacar yang hina. Sedang dia sang puteri di singgahsana. Sungguh benar aku lupa darjatnya. Lupa kerna asyiknya dek penerimaannya. Penerimaan cintanya. Haish... Aku mengeluh tanpa ku khabarkan padanya. Rasa gusar dan resahku yang membuku dalam hati.

October 5, 2010

Seorang Hamba & Sang Puterinya ( II )


Bahasa pesanan ringkas makin lembut. Makin mendayu. Berlainan benar dengan sifatnya yang dipandang kasar. Tegas walau dihatinya aku tahu punya kelembutan. Aku layari satu persatu. Sambil melayaninya seperti biasa. Takut tersalah bahasa. Aku simpulkan ia cuma gurau senda tanpa sedar. Maklum saja lama tak bertemu. Tentu mahu seperti dulu. Maksudku, sebagai teman. Teman yang mengharungi jerit perit kehidupan persekolahan.


Yang pernah satu ketika jadi tempat bersua dan gelak bersama.Yang pernah satu ketika aku curahkan segala rasa.yang berbondong dihati. Yang satu ketika juga, waktu aku dianggapnya gila. Gila kerana menyukainya. Gila kerana memilih dia. Waktu dia tidak bersedia. Waktu yang kulihat merah dipipinya demi menahan suatu rasa. Waktu yang bukan masanya. Itu perkiraan aku.


Benar juga, mungkin ia salahku. Mungkin terlalu awal. Atau mungkin juga ia satu penolakan. Secara halus mungkin, atau rasminya secara damai. Tanpa ada yang terasa.


Kuamati ayat kirimannya satu persatu. Gembira bukan kepalang. Laksana pahlawan yang menang aku rasakan. Yang kepulangannya disambut oleh srikandinya. Kiriman yang satu itu permulaan kata putusnya. Cumanya, benakku beku. Ya, aku masih ragu. Masih dalam keliru. Apa ini mimpi atau khayal. Maklum saja sekian lama tak pernah terasa. Dan tak pernah berisi hati ini.